Wa Al-Asr

Bacaan Quran Oleh Kanak-Kanak Iran


Tuesday, July 21, 2009

Pro-ISA bertembung demo anti-ISA-Kita Tgk Sape Kena Sembur Dgn FRU:)

Mlm ni Malaysiakini melaporkan bahawa beberapa penyibuk pro ISA teringin nak berkumpul jugak...memang penyibuk betul...tapi duk pikir-pikir ..ada bagus jugak...kita nak tgk FRU pilih bulu ke tak...Pro ISA kata x nak bertembung dengan Puak kita...kalau macam tu, biaq kita yang bertembung dgn depa..FRU pun susah nak sembuq ayaq asid kat kita...selamatttt:))

lihat artikel ini dalam malaysia kini

Sunday, July 19, 2009

NED, Chavez Dan Ahmadinejad-Faisal Tehrani


Sinema Spiritual dalam Siasah minggu ini akan menyorot dokumentari arahan John Pilger (foto di atas) berjudul 'The War On Democracy'. Dalam dokumentari ini beliau membongkar modus operandi CIA dalam menjatuhkan kerajaan yang ada, termasuk usaha kudeta melengserkan Hugo Chavez lapan tahun lalu. Saya kemudian mengaitkannya dengan apa yang berlaku di Tehran hari ini. Dapatkan Siasah keluaran Ahad (bulan Jun).Petikan artikel: "Selapis demi selapis John Pilger membongkar kudeta yang sebenarnya dirancang oleh CIA.


Bertahun-tahun Amerika Syarikat mengerahkan seluruh jentera yang ada khususnya media untuk menyediakan basis konspirasi dahsyat ini. Salah satu jentera di bawah CIA tersebut ialah NED. Apakah NED? NED ialah National Endowment for Democracy. NED berfungsi untuk menyalurkan dana bagi menjatuhkan kerajaan di negara yang tidak memihak kepada Amerika Syarikat. Atau di negara yang Amerika Syarikat percaya tokoh buah hatinya akan lebih ‘berfungsi’.


Di Venezuela, lebih dua juta dolar disalurkan kepada pembangkang untuk menjatuhkan Chavez.Dokumentari ini sangat penting untuk ditonton. Kita akan memahami anatomi penipuan, helah, cara kerja Rumah Putih dalam menyediakan boneka Amerika di negara yang mereka sasarkan. Sejak 1945, menurut kajian Pilger, Amerika Syarikat telah berusaha menjatuhkan lebih 50 buah kerajaan yang demokratik supaya ia pro Washington.


Inilah yang sedang dilakukan oleh NED di Malaysia dan Republik Islam Iran. Adalah tidak mengejutkan Kenneth Timmerman, salah seorang pemikir NED terlanjur mengatakan dalam ucapannya di sebuah majlis di Washington beberapa hari sebelum pengundian di Iran, berbunyi begini: “There’s the talk of a ‘green revolution’ in Tehran.” Gerakan hijau yang beliau maksudkan tidak lain tidak bukan ialah gerakan pembangkang atau reformis yang diketuai Mir Houssein Mousavi. Kempen Mousavi menggunakan warna hijau. Dan kita semua tahu betapa media selama bertahun-tahun menggambarkan Presiden Ahmadinejad sebagai fasis anti Zionis yang tidak cekap mengurus ekonomi.Tidakkah ada persamaan apa yang menimpa Chavez hampir sepuluh tahun lalu dengan apa yang dilalui Ahmadinejad hari ini?


Siapakah pembunuh sebenar Neda Agha-Soltan, remaja yang ditembak mati oleh penembak hendap dari atas bumbung di Tehran? CNN mendakwa Neda dibunuh oleh Basiji (kumpulan para militari yang setia kepada Ayatullah Ali Khamanei). Tetapi tidak pernah ada pembuktian. Malah video pembunuhan Neda yang kini boleh dimuat turun dari youtube dan dihebahkan menerusi twitter di seluruh dunia kononnya menjadi ikon untuk menjatuhkan Imam Ali Khamenei."


Ungku Aziz: PPSMI Satu Kesilapan


Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.


Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.


“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.


Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.


MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.


Mingguan: Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.


MINGGUAN: Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.


MINGGUAN: Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.


MINGGUAN: Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.


MINGGUAN: Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.


MINGGUAN: Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.


MINGGUAN: Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

Sumber Mingguan Malaysia 19 Julai 09

Saturday, July 18, 2009

Apakah Itu NED: Orang Pas Kena Baca


Berikut ialah beberapa petikan dari artikel 'NED dan Campurtangan Asing Dalam Politik' tulisan Faisal Tehrani yang tersiar di Siasah edisi terkini (19-25 Julai 09) bilangan 0158. Untuk artikel PENUH dapatkan Siasah segera.NED adalah sebuah agensi separuh kerajaan yang didanai oleh Kongres Amerika Syarikat dan beberapa individu yang tujuannya adalah untuk menyokong dan mendokong organisasi di luar Amerika yang pro polisi luar negara Rumah Putih.

Hal ini disebut secara terang dalam laman rasmi NED bahawa penubuhannya sejak 1980 adalah untuk “membantu usaha demokrasi di negara yang dipercayai dapat memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan kepada pihak yang berhempas pulas memulihkan kebebasan dan hak asasi” (lihat David Lowe, ‘Idea To Reality: A Brief History of the National Endowment for Democracy”, National Endowment for Democracy, http://www.ned.org/about/nedhistory.html).

Idea di belakang NED ialah untuk menjadi organisasi muka hadapan CIA dalam mencampuri urusan negara lain. Perkara ini malah diakui oleh salah seorang penubuh NED, Allen Weinstein, “apa yang kita lakukan hari ini kebanyakannya dilakukan oleh CIA 25 tahun lalu.” (lihat William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, Common Courage Press, Monroe-Maine, 2000, hlm. 180)...Kaedah ketiga, ialah dengan menyatukan beberapa parti pembangkang berlainan ideologi di bawah satu payung. Gabungan pembangkang ini akan didanai menerusi seorang tokoh yang dikenalpasti dengan harapan dapat menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.


Kaedah ini dilakukan dengan berkesan sekali di Mongolia dalam tahun 1996. NED telah menyatukan beberapa parti pembangkang di bawah nama National Democratic Union (Pakatan Demokratik Nasional) untuk menewaskan parti kerajaan Mongolian People’s Revolutionary Party yang berkuasa sejak 1992. Harus diingatkan Mongolian People’s Revolutionary Party bukanlah sebuah parti anti Barat atau Rumah Putih. Cuma parti tersebut enggan tunduk kepada beberapa polisi ekonomi serantau yang diatur Amerika Syarikat. Sebelum tahun 1996, media sekali lagi berperanan mempromosikan “terapi ekonomi” buat kerajaan Mongolia yang kononnya untuk menyaingi kuasa besar China dari segi perdagangan.

Sebenarnya polisi ekonomi yang dimaksudkan adalah untuk membolehkan Mongolia membuka rangkaian bisnes anti China, dan dalam masa yang sama syarikat-syarikat swasta Barat ini dapat menjadi menjadi perisik dan telinga untuk CIA. Hal ini didedahkan oleh pengkaji yang sama iaitu William Blum menerusi bukunya, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower. Bentuk yang serupa dilakukan NED di Haiti untuk menggulingkan President Jean-Bertrand Aristide. Dan contoh klasik ialah usaha NED di Venezuela dalam tahun 2002 untuk menggulingkan Presiden Hugo Chavez. Usaha tersebut gagal, malah salah seorang koresponden CNN mengakui ikut menjadi konspirator dalam rampasan kuasa 48 jam tersebut...

Penerima dana NED yang lain ialah National Iranian American Council (NIAC), menerima USD 25,000 dalam tahun 2002, USD 64,000 dalam tahun 2005, dan USD 107,000 dalam tahun 2006. Di sinilah datangnya kaedah keempat NED iaitu “media training workshop” kononnya untuk melatih peserta mewakili masyarakat dalam bidang komunikasi awam. National Iranian American Council (NIAC) aktif menganjurkan bengkel dan seminar untuk tujuan “strengthen the capacity of civic organizations in Iran”.

Antara slogan bengkel anjuran NIAC adalah seperti merangsang pertumbuhan masyarakat madani, atau ke arah hak asasi dan lain-lain lagi (lihat National Endowment for Democracy http://www.ned.org/grants/06programs/grants-mena06.html#iran). Gerakan ini tentu sahaja telah dikesani oleh Iran. November 2008, lama sebelum pilihanraya Presiden Iran berlangsung, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Mohammad-Javad Zarif menuduh Amerika sedang merancang revolusi warna di Iran. Menurut beliau, kaedah yang diatur NED ialah dengan cara mengundang sarjana dari universiti-universiti di Iran untuk menghadiri konferens akademik di Barat, akan tetapi apabila mereka menyertai sesi undangan itu, sarjana ini akan menyedari mereka sedang berhimpun untuk membincangkan mekanisme menjatuhkan kerajaan Iran (lihat “US plotting Velvet Revolution in Iran?”, Press TV, 18 November 2008 menerusi laman http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=75784...ionid=351020101)...

Hal ini tidaklah mengejutkan kerana dalam bulan Februari 2006, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Condoleezza Rice telah memohon dana mengejut dari Kongres sebanyak USD 75 juta di mana USD 10 juta akan diperuntukkan untuk ‘merangsang kempen propaganda menentang Tehran’. Wang sebesar itu akan disalurkan untuk “siaran radio dan televisyen bahasa Parsi dari Amerika, memberi biasiswa kepada pelajar yang ingin menuntut di Amerika dan untuk mendanai gerakan pro demokrasi di Iran. Menurut Rice, “dana itu penting untuk menunjukkan Amerika menyokong aspirasi kebebasan dan demokrasi yang menjadi hak rakyat Iran” (lihat Ewen MacAskill and Julian Borger, “Bush plans huge propaganda campaign in Iran”, The Guardian, 16 Februari 2006 http://www.guardian.co.uk/media/2006/feb/16/usnews.iran)...

Kaedah-kaedah yang digunakan NED di Iran dan negara lain munasabah untuk direnungi oleh Parti Islam Semalaysia selaku sebuah gerakan Islam. Sudah tiba masanya PAS mempunyai mekanisme sendiri untuk menebat dan mengekang kemaraan musuh yang semakin sofistikated dan bijak dalam menyucuk jarum. PAS perlu menyediakan satu pelan khusus untuk memantau gerakan musuh dalam selimut, mengenalpasti mereka dan menyingkirkan mereka tanpa rasa bersalah. Untuk itu PAS perlu menganalisis strategi politik mereka supaya tidak terjerumus dalam jerangkap musuh ummah. Semua kaedah NED di atas telah pun diamalkan dan dikemukakan di Malaysia.

Sudah tiba masanya PAS mengurangkan syahwat terhadap kuasa dan kerusi lantas kembali kepada fungsi asalnya iaitu untuk menjadi juara kepada umat Islam. Untuk itu agenda perpaduan ummah mesti didahulukan berbanding agenda-agenda lain yang mungkin sahaja telah ‘disediakan musuh’ umat seperti Amerika Syarikat. Pimpinan PAS perlu rajin meneliti perkembangan politik antarabangsa dan tidak ada salahnya belajar dari negara-negara yang pernah diganggu Amerika...(F.Tehrani)

Friday, July 17, 2009

Tun Abdullah minta kerajaan mansuhkan ISA ???

Harakahdaily ari ni melaporkan bahawa TUn Abdullah (mantan PM kita) minta kerajaan Najib mansuhkan ISA...haiiii..Kenapalah manusia ni, bila dah pencen baru nampak...bila ada kuasa, buat2 tak nampak...kalau dia buat2 nampak masa jadi Pm dulu kan senang...tak payah kita nak Demo 1 Ogos ni....

Apapun...tahniah buat Paklah sebab nampak jugak sebelum pencen terus dari dunia...kalau Tun Mahathir..sampai la ni tak nampak2...ish ish ish

Monday, July 13, 2009

Dah Lama Tinggal...Mood pun Dah Ilang:(

Nak tulis blog pun dah ilang mood...kena cari mood lain ni...keje pun makin lama makin byk...uwaa..uwaaa..hehe

Thursday, June 25, 2009

Lama Betul X Tulis..Kursus..kursus...kursus

Blog ni akan bersambung selepas 6/7/2009..:)